Jaringan Prihatin Programme Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 perlu mendapat kelulusan berikutan baki siling Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) setakat hujung September lalu berjumlah RM5 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut tidak mencukupi bagi membiayai empat Pakej Rangsangan Ekonomi yang memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion.

Katanya, mengambil kira keperluan tambahan tersebut serta prestasi ekonomi dan had statutori hutang bagi tahun ini dan 2022, adalah wajar Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 (Akta 830) dipinda untuk menampung peningkatan had siling KWC-19 kepada RM110 bilion ringgit.

“Ingin saya tekankan berdasarkan kedudukan semasa KWC-19, Kementerian Kewangan mengunjurkan peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej bantuan dan rangsangan.

“Ini adalah kerana sejumlah RM60 bilion dibelanjakan dan baki siling setakat hujung September lalu adalah berjumlah RM5 bilion saja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, anggaran perbelanjaan tambahan yang dimohon di bawah Fasal 3 RUU itu adalah sebanyak RM45 bilion selain untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah KWC-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion serta menaikkan had statutori hutang semasa daripada 60 kepada 65 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Jelasnya, anggaran perbelanjaan tambahan itu merangkumi RM12.7 bilion bagi menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah iaitu dari RM18.3 bilion kepada RM31 bilion.

“Sebanyak RM15.8 bilion pula bagi menampung peruntukan tambahan Bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Projek Berskala Kecil bagi kontraktor G1 hingga G4 (RM2 bilion), Geran PRIHATIN PKS (RM3.6 bilion) dan peningkatan had amaun Pinjaman Mikro Kredit (RM1 bilion).

“Selain itu, sebanyak RM5.9 bilion adalah bagi meningkatkan Sokongan Bantuan Sosial untuk Golongan Mudah Terjejas dan RM4 bilion lagi untuk meningkatkan Peruntukan Bagi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Justeru, beliau berkata, kelulusan RUU itu amat penting dan memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen kerana pandemik Covid-19 yang melanda negara meninggalkan kesan ketara, tidak terhad kepada aspek kesihatan malah menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Kita tiada pilihan selain meneruskan inisiatif kritikal seperti Bantuan Prihatin Nasional serta Geran Khas Prihatin dan kedua-dua ini dibiayai melalui KWC-19. Kelangsungan program pekerjaan dan perniagaan termasuk Program Subsidi Upah dan Pinjaman Mikro Kredit juga bergantung kepada peruntukan di bawah KWC-19.

“Sekiranya RUU ini tidak diluluskan, rakyat tidak dapat menerima bantuan dan manfaat untuk bangkit semula selepas mengharungi cabaran pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette