Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Program Transformasi Pendidikan Negeri Pahang di Auditorium JPNP Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Sebanyak RM388,105 diperuntukkan bagi program Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) bermula tahun ini sehingga 2030.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program sepanjang 10 tahun itu melibatkan 10 inisiatif.

“Transformasi yang dilakukan supaya terancang serta tersusun ingin meningkatkan lebih baik dari sekarang, transformasi sehingga 2030 ini juga mendahului negeri lain.

“Syabas tahniah Jabatan Pendidikan Negeri melancarkan TPP demi melahirkan genarasi akan datang lebih dari sekarang dan sehubungan itu kerajaan negeri membantu sedikit sebanyak dana bagi membantu TPP ini direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Pendidikan Pahang di Auditorium JPN Negeri Pahang di sini petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Menurut Wan Rosdi, insiatif tersebut melibatkan Pemerkasaan Potensi dan Bakat Pelajar, Pemantapan Kebitaraan Guru, Peningkatan Kualiti dan Keberkesanan M.L.T (Middle Leader Team), Peningkatan Kualiti dan Keberkesanan SLT Senior Leader Team) dan Pembudayaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Selain itu, lima lagi inisiatif melibatkan Pemugaran Sekolah berwatak, Pemugaran Kolej atau Pusat Tingkatan 6 Pilihan Utama, Pemacu Transformasi Pendidikan melibatkan pejabat pendidikan daerah dan menjadi peneraju transformasi pendidikan melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta pemantapan hubungan dan sokongan. – MalaysiaGazette