Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan kearah tayar kereta yang dipandu seorang lelaki warga asing semasa dia cuba merempuh pihak berkuasa yang sedang menjalankan operasi mencegah penyalahgunaan dadah di Menggatal di sini petang tadi.-Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan kearah tayar kereta yang dipandu seorang lelaki warga asing semasa dia cuba merempuh pihak berkuasa yang sedang menjalankan operasi mencegah penyalahgunaan dadah di Menggatal di sini petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abd Rakman berkata suspek berusia 20an itu cuba merempuh polis ketika melarikan diri dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi yang tular di media sosial dan polis terpaksa melepaskan tembakan kearah tayar kereta itu untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata terdahulu ketika ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif.

“Pada mulanya lelaki itu dapat melarikan diri, bagaimanapun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter dari tempat kejadian sebelum ditahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau pemeriksaan lanjut menemukan dua paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar keseluruhan 100gram, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakaman aksi polis cuba tahan suspek tular