Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MOU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Parlimen semalam.

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat menteri.

Penyerahan surat itu dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam semasa mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MOU Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan di Parlimen, kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menerusi hantaran di Facebook.

Mesyuarat ini akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu.

Katanya, mesyuarat berkenaan membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama. Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang.

Menurut Anthony, mesyuarat seperti ini membawa satu budaya politik yang baharu untuk negara ini.

”Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette