Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Golongan yang tidak percaya kepada vaksin (antivaksin) dicabar untuk mendapatkan jangkitan Covid-19 bagi mengetahui sejauh mana kesan positif pandemik itu kepada seseorang.

Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, hanya seseorang yang dijangkiti Covid-19 sahaja yang mengetahui kesan virus itu terhadap kesihatan dan tubuh badan pesakit.

“Jika mereka tidak percaya kepada vaksin, cuba dapatkan jangkitan kerana hanya  mereka yang dapat jangkitan sahaja tahu betapa peritnya berhadapan dengan nyawa bila kita berada di tahap 3 hingga 5 atau berada dalam ICU.

“Sebab itu, kerajaan akan terus melakukan dakwah dan pendekatan namun dan akhirnya individu juga yang akan membuat keputusan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), pagi ini.

Katanya, kerajaan masih percaya ada sinar di hujung terowong dan mengambil pendekatan untuk tidak mewajibkan pengambilan suntikan vaskin Covid-19 kepada rakyat negara ini.

Malah, jelas Abdul Latiff, kadar imuniasasi penuh negara boleh dicapai tanpa menggunakan paksaan kepada rakyat.

“Setakat ini kita belum mewajibkan kerana macam Kanada sudah wajibkan ada undang-undang kerana rakyat mereka terlalu terdedah dan kumpulan antivaksin ini terlalu terang-terangan tapi di Malaysia masih ada ruang untuk kita berbincang terutamanya dengan masyarakat Orang Asli,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon turut bertanyakan mengenai status orang awam yang enggan menerima suntikan vaksin.

Menjawab pertanyaan itu, Abdul Latiff berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan menyebabkan golongan ini akhirnya menerima vaksin Covid-19.

“Walau bagaimanapun pelbagai cara yang boleh dibuat oleh pihak berwajib umpamanya mereka yang tidak divaksin tidak boleh menikmati makan di restoran.

”Dengan cara begini lama-kelamaan mereka akan sedar mereka tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat orang lain.

“Kita tidak paksa, tetapi lama-lama mereka akan sedar untuk hidup dalam dunia ini ada dua cara sahaja, sama ada pasif infeksi vaksin atau kena jangkitan aktif.

“Kalau jangkitan aktif risikonya amat tinggi dan boleh pergi ke kategori 3 dan 4 dan boleh masuk ICU. Jadi kita serah kepada kebijaksanaan mereka yang degil ini,” katanya. – MalaysiaGazette