Pekerja melakukan kerja-kerja persiapan berhubung kerajaan membenarkan aktiviti dine-in di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mereka yang telah menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 bermula 20 Ogos ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Restoran Marrakesh, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini, kanak-kanak di bawah 12 tahun di Sabah dibenarkan makan di dalam restoran (dine-in), masuk ke premis perniagaan termasuk, perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan dengan syarat ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin bermula hari ini.

Bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun pula, mereka perlu menerima satu dos vaksin untuk makan di restoran, termasuklah aktiviti lain.

Dalam masa yang sama, Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Pasar Tamu / Pasar Tani / Pasar Minggu / Pasar Malam dibenarkan beroperasi di daerah-daerah yang telah mencapai peratusan vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk dewasa.

“Tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan. Penjaja / Operator termasuk pengunjung hendaklah telah lengkap divaksin,” katanya menerusi kenyataan.

Sehingga 10 Oktober 2021, seramai 2,018,854 orang penduduk Sabah telah menerima lengkap dua dos vaksin, manakala 2,375,174 orang telah menerima satu dos.

“Ini meliputi 2,076,455 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 75.3 peratus jumlah penduduk dewasa. Manakala bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap adalah seramai 2,018,854 orang.

“Daripada jumlah ini, seramai 1,927,171 orang atau 69.9 peratus adalah penduduk dewasa. Seramai 298,719 orang atau 70.1 peratus penduduk remaja telah menerima 1 dos vaksin, manakala penduduk remaja yang telah lengkap dos vaksin adalah seramai 91,683 atau 22.0 peratus orang setakat ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette