Sebanyak 13 kluster baharu Covid-19 hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 13 lagi kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditemui di negara ini adalah sebanyak 5,624.

Katanya, berdasarkan kluster-kluster yang direkodkan enam daripadanya adalah berkaitan tempat kerja, komuniti (3) dan masing-masing (1) kluster di Institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, pendidikan, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

“Terdapat 762 kluster yang dikategorikan masih lagi aktif namun, jumlah kluster yang telahpun ditamatkan adalah sebanyak 4,862,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Noor Hisham memaklumkan kes jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dilaporkan sebanyak 7,950 kes.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 7,921 kes merupakan penularan tempatan manakala, 29 lagi kes import.

Ujarnya, kes-kes baharu yag dicatatkan hari ini adalah terdiri daripada kategori satu dan dua dengan jumlahnya sebanyak 7,817 kes, sementara 133 kes lagi adalah dari kategoru tiga, empat dan lima.

Noor Hisham memberitahu, terdapat 725 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 380 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – MalaysiaGazette