Datuk Rozman Isli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mendakwa pertuduhan rasuah ke atasnya bertujuan politik bagi menekan dirinya untuk menyokong kerajaan hari ini.

Kata Rozman, sejak lebih setahun ini dirinya telah dipujuk dan ditawarkan jawatan dengan syarat meninggalkan parti Warisan.

Bagaimanapun dakwa beliau, tawaran itu tidak diterima sehingga menyebabkan pihak tertentu telah memulakan pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadapnya.

“Pertuduhan yang baru dibuat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ini adalah satu rencana yang sudah dirancang lama dan ianya bermotif politik. Hari ini adalah tarikh ketiga saya dipanggil ke mahkamah ini untuk proses pertuduhan dan kali ini ianya tidak ditangguh lagi seperti dua tarikh sebelum ini.

“Bagi saya ada dua objektif yang ingin dicapai oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik di belakang operasi ini. Mereka mahu saya tinggalkan parti Warisan serta sokong yang diterajui oleh Perdana Menteri hari ini.

“Dalam masa satu tahun lapan bulan saya dipujuk, ditawarkan jawatan dan dalam masa yang sama kes ini sengaja diadakan untuk menekan saya dan menjatuhkan imej menjelangnya PRU-15.

“Tapi saya akan hadapi cabaran ini dengan tabah, berani kerana benar,” katanya kepada pemberita selepas membayar jaminan sebanyak RM100,000 di mahkamah hari ini.

Sidang medianya turut dihadiri beberapa ahli politik pembangkang.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli (dua kanan) bercakap sesuatu dengan sebahagian wakil pembangkang yang hadir selepas didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2021.

Rozman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan tiga tahun lalu.

Rozman didakwa menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan untuk mendapatkan kontrak itu bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Tertuduh yang juga Ketua Whip Warisan didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018 di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya.

Rozman didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin di Semenanjung Malaysia manakala pasportnya ditahan sebagai syarat jaminan sehingga pelupusan kes.

Dalam pada itu, kata Rozman lagi, apa yang berlaku pada hari ini kepadanya adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

“Dalam kes ini, saya dituduh salah guna kuasa tapi kebenarannya saya adalah mangsa kepada salah guna kuasa. Saya cuma salah seorang dari sembilan ahli lembaga pengarah.

“Saya bukan pengerusi dalam lembaga ini. Semasa mesyuarat membuat keputusan, saya menyokong operator lama yang dimiliki oleh usahawan bumiputera tempatan itu untuk terus diberi peluang.

“Mereka tidak terpilih sebab majoriti ahli lembaga pengarah memilih syarikat lain dari luar Labuan sebagai operator baru Pelabuhan Merdeka Labuan (Labuan Liberty Port) dan saya menghormati keputusan mesyuarat tersebut.

“Saya yakin mahkamah akan berlaku adil terhadap apa yang terjadi kepada saya. Saya akan membersihkan nama saya dan berjuang dengan sesiapa yang mempunyai misi perjuangan membasmi budaya salah guna kuasa di negara ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahli Parlimen Labuan mengaku tak bersalah salah guna kedudukan dapatkan kontrak kerajaan