Penduduk dewasa di Selangor yang belum dihubungi untuk suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkan tarikh janjitemu di bilik gerakan vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penduduk dewasa di Selangor yang belum dihubungi untuk suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkan tarikh janjitemu di bilik gerakan vaksinasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang berkongsikan maklumat itu berkata, golongan yang belum disuntik dos kedua atau sebarang dos boleh menghubungi nombor telefon atau e mel disenaraikan bagi tujuan berkenaan.

“Segera hubungi talian tertera untuk mendapatkan vaksinasi berdasarkan kawasan kediaman atau berdekatan anda dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bilik gerakan vaksinasi beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang.

PKD tersebut adalah di Petaling, Kuala Langat, Gombak, Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Sabak Bernam.

Program vaksinasi adalah bagi menbantu golongan berkaitan dalam usaha kerajaan negeri bagi mempercepatkan langkah untuk mencapai imuniti kelompok. – MalaysiaGazette