KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu dan sembilan daripadanya membabitkan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak empat kluster melibat komuniti, kumpulan berisiko tinggi (2) dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (1).
Katanya, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditemui kini 5,641.
“Terdapat 744 kluster yang dikategorikan masih lagi aktif, namun sebanyak 4,897 kluster telahpun ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat sebanyak 702 kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 367 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Bagaimanapun katanya, kes sembuh baharu turut tinggi dengan 12,456 kes pulih.
Terdahulu, Dr Noor Hisham memaklumkan, negara mencatatkan sebanyak 8,084 kes positif baharu Covid-19 hari ini.
Daripada jumlah, sebanyak 8,063 kes merupakan penularan tempatan dan 21 lagi kes import, katanya.
Tambah beliau, sebanyak 7,951 kes baharu hari ini adalah dari kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 133 kes adalah dalam kategori, tiga, empat dan lima. – MalaysiaGazette