Pertama kalinya UTeM disenaraikan dalam penarafan Times Higher Education (THE) University Rankings by Subject 2022.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah di persada dunia apabila tersenarai dalam penarafan Times Higher Education (THE) University Rankings by Subject 2022.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir Dr. Ghazali Omar berkata, daripada senarai terkini yang diumumkan THE pada 13 Oktober lalu, tiga bidang utama UTeM telah tersenarai.

Bidang tersebut adalah bidang kejuruteraan pada kedudukan 1001+, sains komputer pada kedudukan 801+ dan dalam bidang perniagaan dan ekonomi pada kedudukan 601+ dan kesemua bidang utama itu dilihat bertepatan dengan bidang tujahan UTeM iaitu pembuatan termaju.

“Pencapaian ini membuktikan UTeM sebagai institusi pengajian ilmu terutamanya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang setanding dengan universiti terkemuka di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejayaan itu, menurut Dr. Ghazali, hasil daripada kerjasama bersepadu segenap lapisan pengurusan tertinggi, pensyarah, pentadbir dan seluruh warga UTeM amnya hasil penghayatan tagline #teamUTeM yang diperkenalkan oleh mantan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr.Raha Abd Rahim.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM menyasarkan pencapaian itu akan sentiasa diperbaiki secara berterusan berteraskan Pelan Strategik 2021-2025: Seven Strategic Goals of UTeM dalam tempoh lima tahun mendatang.

Penarafan THE World University Rankings by Subject ini bermula sejak tahun 2010 berfokus kepada 11 bidang utama dan penilaiannya dibuat menerusi lima komponen iaitu pengajaran, penyelidikan, sitasi, prospek antarabangsa dan pemindahan ilmu.- MalaysiaGazette