Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia di PPB, semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia diberi kepercayaan melalui pelantikannya sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022-2024.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, ketika pengundian sempena sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York semalam, Malaysia meraih sebanyak 183 undi.

Pemilihan Malaysia ke MHAM adalah bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha dan peranan negara ini dalam membina kesepakatan serta menyumbang kemajuan hak asasi manusia di peringkat antrabangsa.

Malaysia, kata kenyataan itu, akan mengambil peluang keanggotaan MHAM kali ini untuk memberi penekanan kepada kepentingan memupuk semangat bekerjasama, keterlibatan yang membina dan menyeluruh, telus, saling hidup secara aman dan menghormati antara satu sama lain.

“Sebagai ahli MHAM, Malaysia akan memperjuangkan hak golongan rentan terutama kanak-kanak, wanita, Orang Asli dan warga tua, selain bercadang untuk memperkasa golongan belia terutama dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.

“Malaysia turut mengutamakan akses kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan sepertimana diperakui oleh MHAM baru-baru ini.

“Di persada antarabangsa, Malaysia akan terus membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan, antaranya terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pada masa sama, kenyataan itu menyatakan, Malaysia juga akan bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.

Menurutnya, negara ini telah menjadi anggota MHAM sebanyak dua kali pada 2006-2009 dan 2010-2013, di mana Malaysia telah mengambil pendekatan seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani isu hak asasi manusia.

Malaysia percaya, peranan MHAM akan menjadi semakin penting dalam memastikan agenda hak asasi manusia terus diketengahkan, terutama ketika dunia kini sedang kembali pulih daripada wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam MHAM serta proses berkaitan dalam mencari persefahaman dan dapat bangkit secara aman untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya serta memastikan tiada negara yang tercicir di belakang.

“MHAM adalah badan dalam sistem PBB yang bertanggungjawab dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara menyeluruh.

“Ia dianggotai oleh 47 anggota yang memainkan peranan dalam mempertimbangkan semua isu tematik mengenai hak asasi manusia, kes pencabulan hak asasi manusia dan perkara–perkara tertentu yang memerlukan perhatian MHAM,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast