Azli Yusof

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor menghargai kesabaran rakyat yang memahami langkah diambil kerajaan negeri itu dalam memastikan bekalan air bersih mencukupi dapat disalurkan berterusan kepada kira-kira 6.7 juta pengguna.

Ketua Penerangan PH negeri, Azli Yusof berkata, beberapa hari lalu berlaku gangguan bekalan air melibatkan 998 kawasan di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Katanya, gangguan itu dimaklumkan menerusi Jadual Gangguan Bekalan Air bermula 13 hingga 16 Oktober ini untuk memberi laluan kepada Air Selangor melakukan kerja penyelenggaraan dan naiktaraf aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Sejak itu, katanya, pelbagai tanggapan negatif mula disebarkan pihak tertentu bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dengan tujuan memperkecilkan kewibawaan kerajaan negeri dan kecekapan pengurusan Air Selangor.

“Isu yang dimanipulasikan ini sangat berbeza, kerana krisis bekalan air yang melanda Selangor sebelum ini adalah kejadian luar jangka yang disebabkan berlaku pencemaran dan seumpamanya.

“Sebaliknya, rakyat Selangor yang meyambut baik pelan penyelenggaraan dan naik taraf ini tidak mudah termakan dengan dakyah murahan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Azli yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Selangor berkata, rakyat mula membuat persiapan awal dengan menyediakan tong dan bekas air di komuniti serta kediaman masing-masing.

Malah, katanya, mereka juga saling berpesan, bantu membantu sesama jiran dan rakan serta memberi tips bagi memastikan bekalan air mencukupi dan digunakan sekadar perlu untuk tempoh tersebut.

Kata beliau, kerajaan negeri melalui pengurusan Air Selangor telah menyediakan pili air sementara di beberapa kawasan strategik.

“Di samping itu, pemimpin masyarakat iaitu ADUN, Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Komuniti serta NGO turut sama menyumbang tangki air ke kawasan berkepadatan tinggi untuk kemudahan orang ramai.

“Malah, kehadiran Datuk Seri Amirudin Shari Menteri ke tapak Loji Rawatan Air pada malam hari penyelenggaran dan naik taraf membuktikan kesungguhan beliau meninjau dan memastikan kerja dilakukan dengan sempurna mengikut jadual.

“Natijahnya, sasaran kerja telah disiapkan lebih awal dari jadual dan bekalan air pulih secara berperingkat serta dapat disalur kepada pengguna lebih awal dari yang dijangka,” katanya.

Jelas Azli, PH Selangor mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan pengurusan Air Selangor yang telah membuat persediaan dan perancangan rapi. – MalaysiaGazette