Iklan palsu yang memaparkan wajah Halimah Mohamed Sadique.

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara menafikan menyiarkan iklan menawarkan peluang bagi mengisi ratusan kekosongan jawatan Guru Tabika baru-baru ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, iklan tersebut dikesan tular di media sosial Facebook sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, iklan yang disiarkan dalam hantaran media sosial itu bertajuk ‘Semakan Dan Permohonan Online’ itu turut dikesan menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

“Meskipun agensi Kemas bukan di bawah kementerian ini, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique turut dijadikan sebagai hiasan utama poster, bagi memberi nilai komersial kepada iklan itu.

“Iklan tersebut mencetuskan tanda tanya besar apabila mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Pendidikan Menengah Rendah (PMR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengesahkan pernah mengeluarkan iklan kekosongan jawatan bagi enam jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29 pada 11 Oktober lalu.

Turut dimaklumkan dalam iklan sebenar adalah peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

Kementerian Perpaduan Negara menjelaskan, menerusi siaran iklan di Facebook Rakan Perpaduan Pahang itu, dengan jelas menyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari institusi pendidikan tinggi tempatan.

“Poster mengelirukan itu mencatat hampir 1,000 perkongsian di laman sosial,” katanya. – MalaysiaGazette