Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kembali mengesan kluster tempat kerja merekodkan kes Covid-19 terbanyak menerusi enam daripada sembilan kluster dengan Johor dan Selangor menjadi penyumbang terbanyak dengan 175 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain tempat kerja, dua kluster komuniti turut dikesan membabitkan 50 kes.

Jelas beliau, satu kluster berisiko tinggi melibatkan 21 kes.

“Jumlah kluster yang telah tamat adalah 4,996 kluster dan jumlah kluster aktif sebanyak 676 kluster.

“Sementara itu daripada 6,145 kes harian yang dilaporkan pada hari ini; 142 kes (2.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 6,003 kes (97.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, kes sembuh yang dilaporkan hati ini adalah 9,231 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 2,270,520 kes.

Tambah beliau, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 682 kes yang mana 640 kes disahkan Covid-19 manakala 42 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Pada masa sama, kes memerlukan bantuan pernafasan 350 kes di mana 281 kes disahkan Covid-19, 69 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette