PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga barangan terpakai kerugian RM15,000 ditipu individu yang menggunakan nama Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh Polis Diraja Malaysia (Perqaseh) bagi meminta sumbangan dalam bentuk wang tunai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya  menerima satu laporan polis daripada mangsa mengenai kes penipuan menggunakan nama Perqaseh untuk meminta sumbangan wang pada Jumaat lalu

Katanya, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai di jabatan kerajaan dengan tujuan meminta sumbangan ke tabung
Perqaseh pada awal April lepas.

Mangsa dijanjikan dengan membuat sumbangan akan
memudahkannya mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh, ujarnya.

“Sejak April sehingga September 2021, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah keseluruhan RM 15,000 dalam bentuk tunai kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil Perqaseh. Mangsa sedar dirinya ditipu kerana masih tidak menerima lesen seperti dijanjikan.

“Siasatan awal pihak Polis dengan pihak Perqaseh mengesahkan tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Mahidisham, PDRM tidak pernah melantik mana- mana individu, syarikat atau persatuan dan tidak pernah menetapkan sebarang sumbangan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh.

Berikutan itu, tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya membuat permohonan lesen mengikut saluran yang ditetapkan dan tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette