BANDAR HILIR – Teka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terlerai hari ini apabila Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan 20 November depan sebagai tarikh mengundi.

Menurutnya, daftar pemilih yang dikeluarkan SPR yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu.

“Daftar pemilih mengandungi 495,196 orang pengundi yang terdrii daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 pengudji anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis dan pasangan dan 106 pengundi luar negara,” kata Abdul Ghani dalam sidang media pengumuman tarikh PRN Melaka di sini hari ini.

Dalam pada itu, SPR, kata Abdul Ghani akan melantik 28 pasukan petugas kempen PRN yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai PRN Melaka adalah perpandukan kepada ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Garis panduan bagi pencegahan Covid-19 untuk tujuan PRN Melaka ke 15 akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada MKN, KKM dan PDRM,” jelas Abdul Ghani.

Badan itu mengadakan mesyuarat hari ini ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 5 Oktober lalu.

PRN kali ini, kata Abdul Ghani bagi mengisi kekosongan 28 kerusi DUN.

Berdasarkan rekod daftar pemilih SPR itu, kerusi DUN N19 Kesidang mempunyai jumlah pengundi tertinggi dengan 37,267 pengundi dan DUN N05 Taboh Naning dalam Parlimen Masjid Tanah terendah dengan 8,641 pengundi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN Melaka pada 20 November depan