Bomba menggunakan teknik attacking dan defensive fire figthing dari luar bangunan bangi memadamkan kebakaran di tapak pembinaan Vista Wirajaya 2, Persiaran Pertahanan , Kuala Lumpur pagi tadi. Gambar ihsan: JBPM

KUALA LUMPUR – Sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan musnah dijilat api dalam kebakaran di tapak pembinaan Vista Wirajaya 2, Persiaran Pertahanan di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku di tingkat dua yang merupakan kawasan tempat letak kereta.

Katanya, api yang cepat marak telah menyebabkan tempat tinggal pekerja yang berada di aras yang sama serta stor penyimpanan peralatan pembinaan musnah 100 peratus.

“Kita menerima panggilan pukul 11.04 pagi dan menghantar jentera berserta anggota sejurus menerima maklumat mengenai kejadian dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pukul 11.51 pagi menerusi tindakan pemadaman menggunakan teknik attacking dan defensive fire figthing dari luar bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut jurucakap itu, tiada mangsa tercedera dalam insiden tersebut dan bomba kini sedang menyiasat bagi mengetahui punca kejadian berlaku. – MalaysiaGazette