Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin disifatkan tidak profesional apabila mengeluarkan kenyataan akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan anti-vaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau itu telah mengeluarkkan kenyataan yang tidak bijak, angkuh dan tidak melambangkan kematangan.

Malah katanya, kenyataan tersebut melambangkan beliau telah bersentimen dengan berprasangka negatif terhadap rakyat.

“Kami kesal dengan kenyataan Khairy Jamaluddin yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menyusahkan hidup rakyat yang tidak mahu divaksinasi.

“Mengenakan diskriminasi dan menekan rakyat dengan cara ini tidak memberi kebaikan dalam jangka panjang kerana kerajaan dilihat mengguna ugutan untuk menangani krisis kesihatan ini.

“Isu vaksin ini bukan satu satunya cara untuk mengekang pandemik Covid-19…walaupun ia dikatakan langkah penting tetapi, tidak harus mengguna pendekatan mengugut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, mereka yang tidak mahu divaksin mempunyai sebab dan ia tidak terbatas di negara ini sahaja tetapi juga di kebanyakan negara.

Ujarnya, ada cara yang lebih bijak untuk memujuk dan mendidik rakyat dengan tidak perlu mengeluarkan kata-kata ugut dan kasar seolah-olah Menteri Kesihatan tahu semua perkara mengenai vaksin covid-19.

Katanya lagi, wujud diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia dengan cara melayani seseorang yang divaksin dan seseorang tidak divaksin secara tidak adil akan memberi kesan yang tidak baik malah boleh, membawa implikasi hak legal seorang rakyat.

Jelasnya, membataskan pergerakan dan peluang pekerjaan kepada mereka yang enggan divaksinasi perlu dikaji dari sudut undang-undang.

“Walau apa pun keputusan kerajaan terhadap mereka yang menolak divaksin perlu mencari titik kesimbangan antara hak dan tanggungjawab awam dari sudut undang-undang.

“Kenyataan kerajaan ” akan menyusahkan kehidupan ” bagi mereka yang tidak mahu divaksinaai tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Menteri.

“Mempolitik dan mensenjatakan vaksinasi harus dielakkan.

“Kami mengusulkan kerajaan mempertingkat kempen dan turun ke padang bertemu dengan rakyat dengan maklumat yang meyakinkan mengenai vaksin. Tidak perlu mensensasikan isu vaksin dengan mengugut akan menyusahkan hidup rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast