KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa “kerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak vaksin akan berdepan dengan kehidupan yang sukar” merupakan satu tindakan membuli rakyat yang telah membuat pilihan untuk tidak divaksin.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, pihaknya membantah sebarang bentuk diskriminasi, membuli dan menggugat maruah rakyat yang tidak mahu divaksin.

Menurutnya, kerajaan telah mengakui bahawa vaksin bukanlah satu penyelesaian untuk Covid-19, sama ada divaksin atau tidak, seseorang itu masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Bahkan negara-negara seperti Singapura dan Israel telah membatalkan polisi asal pasport vaksin untuk perjalanan kerana mereka menyedari bahawa tidak ada nilai epidemiologi ekoran peningkatan ketara jumlah jangkitan dalam kalangan mereka yang telah divaksin.

Berdasarkan faktor-faktor ini, anggapan bahawa orang awam dan pekerja yang tidak diberi vaksin akan membahayakan kesihatan pekerja-pekerja yang telah diberi vaksin adalah tidak betul.

”Mereka yang tidak mahu divaksin mempunyai pelbagai alasan untuk membuat pilihan masing-masing; ada yang disebabkan oleh alasan perubatan, ada yang takut akan faktor risiko, yang lain ingin bergantung pada imuniti secara semula jadi mereka sendiri sementara ramai yang ragu-ragu kerana vaksin dibangunkan terlalu pantas tanpa mematuhi protokol pembangunan vaksin.

”Apa pun alasannya, tidak dapat dinafikan, disebabkan faktor risiko vaksin Covid-19, ada keperluan untuk mendapatkan “persetujuan” daripada penerima vaksin. Rakyat mempunyai hak undang-undang untuk menerima atau menolak apa yang boleh masuk ke dalam tubuh badan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Solomon menambah, lagipun vaksin tidak boleh diberikan kepada mereka yang tidak memberikan “persetujuan” mereka dan adalah salah dari segi hukum dan moral untuk memaksa mereka untuk bersetuju menerima risiko yang bertentangan dengan kehendak mereka.

Oleh itu, jelasnya, Khairy tidak boleh mengugut untuk mendapatkan persetujuan mereka yang tidak mahu divaksin dengan bertindak secara diskriminasi dan memulau serta melabelkan mereka sebagai “antivaksin”.

”Memaksa vaksin ke atas mereka yang tidak mahu divaksin juga merupakan satu bentuk pencabulan,” ujar beliau.

Sebaliknya, katanya, tanggungjawab pihak kerajaan yang dibayar gaji dan faedah oleh pembayar cukai adalah memberi rakyat Malaysia segala maklumat berdasarkan bukti dan yang seimbang untuk membolehkan pengambilan keputusan yang tepat.

Dan, apabila rakyat telah membuat keputusan, kerajaan harus menghormati keputusan mereka, bukannya menunjukkan sifat setia kepada pengeluar-pengeluar vaksin Covid-19.

Beliau menambah, rakyat Malaysia mengalami trauma mental yang melampau sejak bermulanya wabak ini dengan tiga kerajaan berubah tangan, justeru, sebarang tindakan diskriminasi, membuli dan melanggar hak tubuh badan seseorang harus dihentikan dengan segera.

NUBE menggesa Kabinet “Kerajaan Keluarga Malaysia” dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menasihati rakan-rakan Jemaah Menteri mereka agar menghormati hak rakyat, menghentikan diskriminasi dan juga ugutan terhadap mereka yang tidak mahu divaksin.

”Hasrat Khairy yang dinyatakan dalam kenyataan itu menunjukkan sikap keras kepala beliau. Ini sama dengan kerajaan yang menggunakan kaedah samseng terhadap rakyat,” tambahnya.

Sebaliknya, fokuslah untuk memerangi Covid-19 dengan prosedur operasi standard yang penting bagi membendung penyebaran virus tanpa mengira sama ada telah divaksin ataupun sebaliknya, berikan bantuan perubatan, kemudahan dan menerokai kaedah rawatan-rawatan yang telah dikatakan berjaya oleh beberapa kerajaan demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

Semua kakitangan sektor awam wajib vaksin mulai November ini – KJ