Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan menyekat penjualan beberapa kategori barangan luar dalam platform e-dagang untuk membantu dan melindungi usahawan tempatan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan menyekat penjualan beberapa kategori barangan luar dalam platform e-dagang untuk membantu dan melindungi usahawan tempatan.

Ahli Majlis Eksekutif Pusat yang juga Ketua Biro Ekonomi Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, ia bagi melindungi industri mikro, kecil dan sederhana (MIKS) untuk kembali pulih daripada krisis ekonomi ketika pandemik Covid-19.

“Rakyat Malaysia membeli barangan China melalui platform atas talian bernilai AS$49.4 bilion pada 2020 dan merupakan negara keempat pembeli atas talian terbesar dari segi nilai dagang kasar pada promosi jualan 11.11 tahun lepas; selepas Amerika Syarikat, Rusia dan Perancis.

“Jumlah ini lebih besar berbanding dengan Singapura (AS$28.2 bilion), Jepun (AS$13 bilion), Amerika Syarikat (AS$12.8 bilion), dan Taipei China (AS$10.3 bilion).

“Aliran tunai keluar negara AS$49 bilion atau RM220 bilion adalah jumlah yang besar yang boleh dibelanjakan untuk barangan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armin mendedahkan, terdapat 14.4 juta pengguna e-dagang di Malaysia dan dijangka meningkat hampir 4 juta pengguna baharu atau 77 peratus dari jumlah populasi Malaysia menjelang 2025.

“Purata pembelian atas talian setiap pengguna e-dagang berjumlah AS$383 setahun dan dijangka meningkat menjadi AS$530 setahun menjelang 2025.

“Jika sektor-sektor tempatan tidak dibendung dari awal, kami khuatir bukan sahaja usahawan tempatan tetapi ekonomi Malaysia juga terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah eksport,” katanya.

Menurutnya, sekatan penjualan barangan luar itu didakwa dapat melindungi inisiatif dan usaha kerajaan yang telah memperuntukkan RM4.6 bilion pada Belanjawan 2020 untuk pembangunan usahawan.

“Sejak 2010, kerajaan melalui agensi TEKUN telah membimbing seramai 219,674 orang usahawan dalam pelbagai industri melalui program Asas Keusahawanan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dan beratus ribu usahawan lain melalui pelbagai agensi kerajaan.

“Segala usaha ini akan terbiar jika produk dan barangan tempatan gagal bersaing dengan barangan import dari China yang memang jauh mempunyai kekuatan kewangan untuk mengeluarkan barangan dan produk dengan lebih kuantiti dan kualiti.

“Kerajaan juga telah banyak berbelanja besar berkempen untuk membeli barangan buatan Malaysia tetapi tanpa halangan dan kawalan akses kepada produk luar, usahawan mungkin tidak dapat bertahan malah kempen tersebut akan lebih menguntungkan penjual luar negara dan barangan import,” katanya.

Dalam pada itu, permintaan untuk menghad jualan barangan import di platform atas talian seperti Lazada dan Shopee didakwa diterima baik dan dilaksanakan oleh Kerajaan Indonesia yang telah melaksanakan perintah kawalan barangan jualan atas talian untuk 13 kategori sejak Mei 2021.

“Jumlah perbelanjaan e-dagang Malaysia dalam semua kategori produk adalah AS$5 bilion dan dijangka mencecah AS$9.6 bilion pada 2025.

“Kategori fesyen merupakan kategori produk utama, bernilai AS$1.8 bilion. Elektronik dan media berada pada kedudukan kedua berjumlah AS$1.4 bilion.

“Menjelang 2025, fesyen dijangka akan terus berada di kedudukan teratas dengan nilai AS$3.5 bilion. Penjualan barangan elektronik dan media di atas talian juga dijangka berkembang mencapai AS$2.4 bilion.

“Trend pembelian atas talian rakyat Malaysia tertumpu kepada fesyen, kecantikan, elektronik, makanan dan penjagaan diri dan lebih dari 52 peratus pembelian atas talian dibelanjakan ke atas produk-produk luar negara melalui platform Lazada dan Shopee,” dedahnya.

Katanya lagi, produk import di bawah kategori fesyen seperti jilbab, pakaian wanita muslimah, wanita bawahan muslim, pakaian muslimah, pakaian lelaki muslim, pakaian wanita muslimah, mukena, pakaian muslimah kanak-kanak, aksesori muslim, peralatan solat, batik dan kebaya perlu disekat dari terus dijual di semua platform atas talian termasuk Shopee dan Lazada.

“Kerajaan perlu mengkaji semua kategori-kategori yang dipelopori oleh industri MIKS dan membantu mereka dengan menghadkan penjualan atas talian oleh penjual luar supaya mereka dapat kembali bernafas sekurang-kurangnya sehingga ekonomi kita kembali pulih.

“Kami juga menggesa kerajaan untuk memberi lebih tumpuan kepada sektor perkhidmatan kecil seperti tukang gunting rambut, tukang jahit dan lain-lain kerana mereka bukan sahaja terjejas dengan perintah kawalan pergerakan tetapi mereka juga masih jauh ketinggalan dalam digitasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast