KUALA LUMPUR – Keadaan trafik di lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dilapor sesak membabitkan arah Selatan.

Tinjauan Malaysia Gazette di Restoran Jejantas Sungai Buloh mendapati kesesakan berlaku sejak jam 3 petang tadi hingga lewat malam nanti.

Menurut seorang pegawai PLUS, keadaan tersebut sudah dijangka apabila berlakunya cuti panjang.

Dalam pada itu, Restoran Jejantas kedua-dua arah juga sesak dengan pengguna lebuh raya mengambil kesempatan berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Kesemua pengguna diwajibkan melakukan daftar masuk My Sejahtera di pintu utama kedua-dua arah.

Pada 11 Oktober lalu, kerajaan memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu turut mengingatkan rakyat Malaysia yang melakukan pergerakan seperti pulang ke kampung berjumpa keluarga, melancong dan sebagainya perlu mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.-MalaysiaGazette