Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech kepada pelajar sekolah dalam program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Management and Science University (MSU), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 22,047,448 individu atau 94.2 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 97.3 peratus atau 22,775,864 individu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 256,497 dos vaksin harian diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 48,437,608 dos.

Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 1,218,000 atau 38.7 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin, manakala 79.7 peratus atau 2,509,535 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 Sept. lepas. – MalaysiaGazette