Pengasas kosmetik, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghormati golongan yang menolak suntikan vaksin Covid-19 kerana mereka berhak membuat pilihan masing-masing.

Beliau yang juga usahawan berkata, golongan itu tidak semestinya tidak sihat walaupun segelintir mereka enggan divaksin.

Namun Siti Nurhaliza mengakui beliau mengambil vaksin untuk memberi perlindungan kepada anak-anaknya, selain menyuruh kakitangan mengambil tindakan sama agar suasana persekitaran lebih terjamin.

“Saya pun ambil vaksin sebab hendak lindungi anak-anak saya. Begitu juga dengan orang bekerja dengan saya hendak pasti mereka terjaga.

“Tapi pada masa tidak bermakna orang antivaksin tidak sihat dan mereka ada cara mereka. Saya menghormati kerana mereka ada hak masing-masing

“Kalau boleh, kita hendak dalam suasana Insya-Allah terjamin walaupun susah nak cakap kerana ia subjektif. Kita rasa lega untuk bekerja itu sebenarnya,” katanya.

Siti berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran rangkaian produk baharu SimplySity di Menara Kuala Lumpur di sini semalam.

Sehingga semalam, jumlah populasi dewasa di Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini mencecah 22,047,448 orang atau 94.2 peratus, demikian menurut data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW.

Sebelum ini, pelakon popular, Rozita Che Wan mengakui tidak akan menerima tawaran berlakon dengan mana-mana pelakon yang belum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Mesra dengan panggilan Che Ta, dia enggan mengambil risiko berlakon di bawah produksi yang sama dengan individu sedemikian memandangkan dia masih mempunyai anak kecil di rumah.

Sementara itu, Siti Nurhaliza menambah, beliau tidak pernah mempersoalkan sesiapa yang bekerja dengannya kerana percaya dengan tindakan produksi atau stesen televisyen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya tidak pernah tanya sesiapa, sudah vaksin ke belum kerana percaya SOP dipatuhi oleh penganjur,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan anti-vaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin. – MalaysiaGazette