Sebanyak 12 lagi kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu dan daripada jumlah itu, enam daripadanya kluster tempat kerja,- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 12 lagi kluster baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu dengan enam daripadanya merupakan kluster tempat kerja.

Tiga daripada kluster tersebut merupakan kluster pendidikan, komuniti (2) dan keagamaan (1), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, menerusi penemuan terbaharu itu ia menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditemui setakat ini adalah sebanyak 5,717.

“Sehingga ini sebanyak 5,137 klsuter telahpun ditamatkan namun, terdapat 580 kluster dikategorikan masih aktif,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19.

Terdahulu hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 6,630 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,615 merupakan jangkitan daripada penularan tempatan manakala bakinya merupakan kes import.

Berdasarkan pecahan beliau menjelaskan, sebanyak 6,529 kes adalah terdiri dalam kategori satu dan dua serta 101 lagi adalah dalam kategoru tiga, empat dan lima.

Tambahnya, terdapat 653 kes kini sedang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 322 daripadanya memerlukan bantuan alat penafasan. – MalaysiaGazette