Foto hiasan

SINGAPURA – Seorang lelaki warga Malaysia adalah antara 16 lagi kematian baharu akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di Singapura pada 21 Oktober.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, dalam data terkininya, lelaki itu adalah pemegang pas kerja.

Sementara itu dari 15 kes lain, 11 adalah lelaki warga tempatan dan Penduduk Tetap manakala empat lagi wanita rakyat Singapura.

Semua kes kematian itu membabitkan mereka yang berusia antara 61 dan 93 tahun.

Daripada jumlah kematian terkini itu, lapan tidak divaksinasi COVID-19, seorang telah menerima satu dos vaksin manakala tujuh lagi sudah lengkap.

Menurut kementerian itu, 15 kes kematian mempunyai sejarah penyakit manakala tiada rekod perubatan membabitkan kes yang sudah divaksin.

Dengan kes korban terbaru itu menjadikkan jumlah kematian di republik ini sebanyak 280 orang setakat ini.

Singapura juga melaporkan 3,439 jangkitan baharu COVID-19 pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 162,026 kes.

Daripada jumlah itu, 2,937 dikesan di komuniti, 500 di asrama pekerja migran dan dua kes import.

Pada 20 Oktober, 84 peratus penduduk Singapura sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pada Rabu lepas, Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian memaklumkan Fasa Penstabilan akan dilanjutkan selama sebulan hingga 21 Nov kerana lebih banyak masa diperlukan bagi menstabilkan tekanan yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan. – Bernama