Muhammad Khalil Abdul Hadi tindakan Israel
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Pas menyokong penuh ketetapan kerajaan untuk tidak menormalisasikan hubungan dengan Israel dan terus memperkasakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi menuntut sebuah negara Palestin yang merdeka.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia sekali gus menolak kenyataan seorang menteri Israel dalam satu temuramah dengan portal berita Erem News bahawa Malaysia berkemungkinan akan menormalisasikan hubungan dengan Israel dan menyertai Perjanjian Abraham (Abraham Accords).

“Sebagaimana yang diketahui umum, rejim zionis Israel adalah penjajah yang menjajah Palestin yang kemudiannya mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara yang merdeka pada tahun 1948 di atas negara yang dijajahnya,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Muhammad Khalil, rejim zionis Israel menghalau rakyat Palestin dari kampung halaman dan tanah air mereka sendiri, merobohkan dan merampas rumah, kampung, bandar dan negara rakyat Palestin, mengamalkan diskriminasi, kezaliman dan kekejaman ke atas rakyat Palestin malah, lebih teruk dari dasar apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan satu ketika dahulu.

Tambahnya, rejim zionis Israel telah banyak kali melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengamalkan polisi yang kejam ke atas rakyat Palestin serta menafikan hak asasi rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.

Beliau berkata, sewajarnya bukan sahaja tidak satupun negara yang perlu menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel, sebaliknya Israel wajar diboikot dan dinafikan kewujudannya di muka bumi ini.

Ini kerana katanya, adalah tidak masuk akal pada zaman yang serba maju ini, Palestin adalah satu-satunya negara yang masih dijajah secara terang-terangan di dunia ketika ini.

“Semoga Palestin dan rakyatnya akan beroleh kemenangan serta merealisasikan kewujudan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka,” katanya.

Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdulllah dilapor berkata, Malaysia secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

Tambahnya, Malaysia teguh dengan komitmennya yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

Beliau berkata, Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

“Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast