Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pihak yang menjaga urusan Islam tidak sepatutnya mengizinkan sebarang penyalahgunaan nama arak, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini kerana, tegas beliau, penyalahgunaan nama itu oleh pihak tertentu boleh mengelirukan umat Islam.

Namun, katanya, dalam masyarakat majmuk, pihak berkuasa tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam, tetapi bukan dalam bentuk penyalahgunaan nama minuman keras itu.

Beliau memberi contoh, kerajaan yang dikuasai Pas di Kelantan dan Terengganu telah menetapkan di bawah bidang kuasa negeri, mengharamkan arak kepada penganut Islam.

“Tetapi, pada masa sama, tidak melarang berlaku perniagaan arak dalam kalangan bukan Islam sahaja.

“Ini disebabkan arak itu diizinkan oleh agama mereka yang berkonsepkan kepada kebebasan beragama,” katanya dalam Minda Presiden Pas, hari ini.

Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dilaporkan berkata, syarikat pengeluar arak tempatan jenama ‘Timah’ perlu menukar kepada nama lain kerana ia menimbulkan kontroversi dan dipertikaikan pelbagai pihak.

Katanya, jenama itu jelas bersifat provokasi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, walau apa pun alasan diberikan untuk jenamanya, penggunaan nama ‘Timah’ dalam bahasa Melayu adalah dekat dengan nama Fatimah al-Zahra’, puteri kesayangan Rasulullah SAW dan secara halus boleh dianggap menyentuh sensitiviti dalam kalangan penganut Islam.

Ujar beliau, dalam Islam, perbuatan meminum arak termasuk dalam kesalahan jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman hudud, iaitu sebatan yang bersifat mendidik pelaku serta masyarakat supaya meninggalkan minuman keras.

“Islam juga turut menegaskan semua yang terlibat menghasilkan arak dan bahan sepertinya adalah haram dan berdosa besar, sama ada daripada industri huluan sehinggalah hiliran, walaupun tidak digunakan untuk dirinya dan orang lain.

“Semua hasilnya tidak mendatangkan keberkatan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Seterusnya diharamkan juga semua bahan yang memabukkan seperti candu, dadah dan lain-lain kerana semuanya merosakkan akal yang berharga bagi diri manusia,” katanya.

Namun, kata Ahli Parlimen Marang itu, Islam masih mengizinkan penggunaan bahan lain yang tidak salah bagi tujuan perubatan dan perubahan daripada arak menjadi cuka untuk makanan setelah proses bertukar menjadi bahan lain.

Katanya, Rasulullah SAW telah memberikan amaran akan berlakunya fitnah pada akhir zaman menimpa ke atas umatnya yang membawa kepada kerosakan akhlak mereka akibat arak dan seumpamanya, sehingga jenama arak sengaja ditukar semata-mata bagi mengelirukan. – MalaysiaGazette