Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan beramah mesra bersama lima beradik yang kehilangan ibubapa akibat janglitan Covid-19 pada 11 Ogos lalu di rumahnya di Kota Perdana, Seri Kembangan. Foto MOHD ADZLAN, 23 OKTOBER 2021.

SERDANG – Sebanyak 25 peratus graduan yang menganggur bersifat sementara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Jelas beliau, kini negara berhadapan dengan keadaan luar biasa dengan kesan pandemik Covid-19 yang pelbagai.

Namun katanya, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh, sebaliknya akan terus berusaha mencipta peluang pekerjaan baharu mengikut keperluan graduan.

“Jangka masa pendek saya boleh nasihatkan graduan adalah, ini merupakan keadaan luar biasa, keadaan akan berubah.

“Kerajaan sedar dan akan mengambil langkah-langkah melahirkan peluang pekerjaan, membawa masuk pelabur asing, ini usaha kerajaan “ katanya ketika menziarah dan menyantuni lima beradik yatim piatu selepas kehilangan ibu dan bapa akibat jangkitan Covid-19 baru-baru ini.

Tambah Saravanan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan muncul dengan Job Fair dalam tempoh dua bulan lagi untuk terus membantu graduan yang belum bekerja.

Bagaimanapun, beliau menyeru kepada para graduan yang masih menganggur supaya tidak terlalu memilih kerja.

“Sekiranya kita ada komitmen terimalah peluang kerja sedia ada,” kataya yang mengulas laporan Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia terdapat 771,800 penganggur pada suku pertama tahun ini.

Pada suku kedua tahun ini jumlah penganggur berkurangan kepada 764, 900 orang.

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 28 peratus atau 202,400 penganggur adalah dalam kalangan graduan. -MalaysiaGazette