Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggunakan kaedah serangan peribadi untuk menimbulkan keraguan ahli UMNO kepada presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR yang lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu itu dianggap lucu, umum tahu keputusan UMNO tidak akan bekerjasama dengan parti serpihan itu adalah pendirian akar umbi yang dibuat melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor ketika menjelaskan perkara itu menasihatkan Azmin dan kartelnya supaya sedar diri di mana mereka berada.

“Berasa agak lucu apabila Azmin mempertikai keputusan PAU 2020 yang telah memuktamadkan tiada lagi kerjasama dengan PPBM. Pendirian itu sepenuhnya membawa mandat suara akar umbi.

“Tidak langsung timbul soal presiden menyalahgunakan kuasa dengan memaksa perwakilan daripada Bahagian seluruh negara.

“Malah, kita tahu permainan Azmin ini yang sengaja menimbulkan keraguan kepada Ahmad Zahid melalui kaedah serangan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin ketika melancarkan jentera parti itu di Melaka pagi tadi dilaporkan berkata, keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan PPBM melawan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pandangan Ahmad Zahid sebagai presiden.

Sedangkan, katanya, beliau mendapat maklumat daripada pemimpin UMNO (akar umbi) yang mahu diwujudkan satu kerjasama dengan PN.

Dalam pada itu, Noor Hariri menasihatkan Mohamed Azmin supaya perkuatkan parti sendiri dahulu sebelum cuba untuk menjadi jurucakap parti lain.

“Perkuatkan parti anda dulu, kemudian dapatkan suara akar umbi dari Bersatu yang tidak mahu bersama dengan UMNO.

“Jangan sekali-kali bersikap populis tidak kena pada tempat. Kami tahu kedudukan anda dalam Bersatu pun tidak disenangi oleh ahli-ahli lama,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Mohamed Azmin mengenai pepatah Melayu ada mengatakan, pemimpin yang bagus adalah pemimpin yang memberi tauladan baik kepada rakyatnya.

“Apakah pemimpin yang mengkhianati mandat rakyat dan parti sendiri menjadi tauladan yang baik?

“Pengundi di Melaka sudah boleh menilai parti mana yang betul-betul menjaga kebajikan rakyat dan parti mana pula yang sanggup bersekongkol dengan DAP demi menjatuhkan kerajaan Melayu dahulu.

“PPBM pernah bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP selama 22 bulan dan apa yang mereka telah buat selama memegang kuasa,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Kelantan percaya, anak muda sudah bersedia memilih calon daripada Barisan Nasional (BN) yang segar dan setia membawa kepercayaan rakyat untuk memacu kembali Melaka ke landasan asal. – MalaysiaGazette