Home Nasional Lelaki miliki 15 rekod jenayah lampau mati ditetak

Lelaki miliki 15 rekod jenayah lampau mati ditetak

BUTTERWORTH – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan mati ditetak di Jalan Pak Abu, Kampung Telaga Air di sini, semalam.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 8 malam sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk bantuan lanjut.

Sumber MalaysiaGazette berkata, mangsa yang berasal dari Taman Sutera Jaya, Sungai Petani, Kedah itu bagaimanapun, dilaporkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya pada jam 10.10 malam.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bangsal hadapan rumah saksi.

Katanya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan tetakkan pada bahagian bawah jari kelingking kiri serta luka pada betis kiri mangsa.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa ditemui terbaring atas jalan  diangkat oleh dua orang awam sebelum menempatkannya berhampiran sebuah bangsal di hadapan rumahnya.

“Susulan itu, lelaki berkenaan menghubungi APM untuk tindakan lanjut dan tiada saksi lain yang melihat kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, kita tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul dan ditetak ditempat lain sebelum dibawa ke lokasi  dia ditemui,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah sumber, semakan lanjut juga mendapati mangsa mempunyai 15 rekod lampau dan sembilan daripadanya membabitkan kes narkotik.

Pihak forensik mengumpul bahan bukti di lokasi kejadian.

“Selain itu, hasil saringan awal air kencing juga mendapati mangsa positif tiga jenis dadah iaitu ganja, Methamphetamine dan Amphetamin.

“Mayat mangsa akan dibedah siasat di Hospital Seberang Jaya bagi mengenal pasti punca kematian yang sebenar dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” kata sumber.

Sehubungan itu, pihak polis meminta orang awam atau saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi melengkapan siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette