Iman Troye kini menjadi duta pusat ilmiah, PTTI bersama MK.

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda, Iman Troye diumumkan sebagai duta pusat ilmiah, PTTI dalam membantu Kempen 2 Juta Bangkit Belajar bagi menggalakkan pelajar terus belajar walau dalam apa jua situasi termasuk mengharungi pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin dilihat mempunyai kredibiliti dan tarikan untuk menarik lebih ramai pelajar untuk skor.

“Iman pun pelajar peringkat Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara(UiTM), Shah Alam. Saya dapat tahu, dia antara pelajar yang cemerlang dan mendapat sijil dekan.

“Dia memang boleh jadi inspirasi kepada pelajar lain. Malah Iman turut merakamkan lagu jingle 30 saat berjudul Pilih PTTI yang disadur daripada lagu popularnya, Teman,” katanya selepas melancarkan Kempen 2 Juta Bangkit Belajar yang bertemakan Berjuta Kejayaan Bermula Dengan Langkah Pertama di sini, semalam.

Majlis pelancaran Kempen 2 Juta Bangkit Belajar yang bertemakan Berjuta Kejayaan Bermula Dengan Langkah Pertama semalam.

PTTI yang sinonim dengan calon SPM selama ini menganjurkan kempen itu yang terbuka kepada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Pada majlis sama, penyanyi yang meledak dengan lagu Teman itu turut melakukan simbolik pelancaran single keduanya berjudul Nang.

Siti Farhana atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, PTTI kali pertama menggunakan khidmat dan pengaruh Mira Filzah sebagai duta.

Seterusnya jelas beliau sejak awal tahun ini, anggota K-Clique, MK pula mengambil alih posisi itu.

“Sejak September lalu, Iman turut dipelawa sebagai duta selama setahun. Jadi sekarang kita ada dua duta, MK dan Iman,” katanya.

Siti Farhana berkata, sasaran dua juta pelajar itu diberi secara percuma untuk belajar dalam talian menerusi aplikasi pembelajaran, PTTI Better Result selama sebulan.

“Bermula hari ini (semalam) hingga 27 November depan, kita buka kuota belajar percuma dalam talian untuk 2 juta pelajar ini. Kita sedar ramai golongan ini terkesan akibat pandemik dan terus bangkit membiasakan fasa peralihan endemik.

“Mereka dari tingkatan satu hingga lima, boleh memuat turun aplikasi PTTI Better Result dan selepas itu boleh belajar secara ‘live’ mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita bagi percuma sebulan ini sebagai rangsangan kepada usaha tak kenal jemu membantu pelajar. Lagipun pembelajaran dalam talian sudah menjadi trend dan tuntutan semasa saat ni,” katanya.

Ditanya kenapa membuka peluang kali ini kepada pelajar lain dan bukannya calon SPM, Cikgu Fana percaya usaha belajar awal itu tidak pernah menjadi satu kerugian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast