Mayat mangsa terjun jambatan kedua Pulau Pinang dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

BAYAN LEPAS – Selepas tiga hari operasi pencarian, mayat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) akhirnya ditemui hari ini.

Mayat mangsa berusia 20 tahun itu ditemui terapung oleh nelayan tempatan di bawah JSAHMS sebelum menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat terbabit ditemui berhampiran tiang ke – 80 jambatan berkenaan pada jam 1.30 petang.

Abd Razak.

“Bot Perkasa 1221 digerakkan ke lokasi bersama agensi berkaitan sebaik kita menerima maklumat.

“Mayat mangsa dibawa oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dengan diringi aset APMM ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

Bot APMM mengiringi bot bomba ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban di sini, hari ini.

“Semakan mendapati mayat berkenaan adalah individu yang terjun dari jambatan berkenaan pada 26 Oktober lalu dan polis juga mengesahkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Abd Razak, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi kejadian berkenaan ditamatkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi pada jam 4.15 petang,” kata beliau. – MalaysiaGazette