KUALA LUMPUR – Melabur dalam masa yang sama menyimpan, itulah kelebihan yang akan dinikmati pelabur Bumiputera yang melabur bersama Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Penasihat kewangan berlesen, Dr. Adam Zubir berkata, konsep pelaburan ASB ini istimewa dan memberi kelebihan kepada pelabur.

Ini kerana, konsep pelaburan ASB membolehkan pelabur melabur seperti menyimpan namun jumlah simpanan meningkat kerana diberi dividen.

“ASB adalah salah satu bentuk unit amanah diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang kelebihannya berbentuk hybrid. Bermaksud, ia adalah pelaburan seperti  simpanan.

“ASB ada dividen setiap tahun iaitu pulangan daripada simpanan kita. ASB adalah pelaburan di mana duit akan beranak-pinak, bercambah,” katanya dalam segmen Borak-Borak Je di Fiesta Labur PNB @Home, bersama ASNB yang disiarkan menerusi Facebook live, hari ini.

Kata beliau, sesuatu pelaburan yang dapat memberikan pulangan kepada pelabur seperti yang ditawarkan oleh ASNB adalah menguntungkan  berbanding hanya sekadar menyimpan tanpa sebarang pulangan.

Pertambahan daripada simpanan ini adalah benteng atau kalis inflasi.

Ini seiring dengan situasi semasa, yang mana harga barang semakin meningkat dan mendorong kenaikan kos hidup.

“Kalau kita simpan duit dalam bank sahaja, nilainya menyusut. Disebabkan itu penting kita melaburkan duit  supaya nilai duit itu tidak jatuh, sebaliknya terus meningkat seiring dengan kenaikan harga.

“Sebab itu, saya nyatakan pelaburan sangat penting. Masalahnya orang ramai hanya nampak pelaburan dalam saham, hartanah menyebabkan ramai takut untuk melabur kerana menyangka jumlah pelaburannya besar, risiko tinggi. Sebenarnya pelaburan mudah.

”Kita boleh mulakan di ASB,” ujarnya lagi.

Sebagai contoh, Adam menerangkan, jika duit di simpan dalam akaun simpanan di bank, ia tidak ada pulangan tetapi, jika melabur sebanyak RM400 dalam ASB, pelabur mendapat pulangan melalui dividen.

Tambahnya, ASB adalah produk ciptaan ASNB yang unik kerana  menjamin kehidupan Bumiputera untuk jangka masa panjang  dengan pelbagai cabaran dan risiko.

Ditambah pula dengan risiko krisis kesihatan, ekonomi yang tidak dapat dijangka seperti yang berlaku sekarang, akibat Covid-19 seluruh dunia terjejas teruk.

“Saya harap masyarakat kita ambil iktibar dengan apa yang berlaku, tengok sekeliling kita, ramai kawan terjejas akibat Covid-19, jadi kita perlu persiapkan diri kita dengan mengukuhkan kedudukan kewangan,” kata Adam lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, tabiat menyimpan dan melabur perlu diterapkan di dalam diri setiap individu Bumiputera sejak muda terutama dengan melabur dalam ASB.

”Tidak kisahlah kita melabur di mana tapi tabiat melabur perlu ditanam dalam diri – dapat gaji, sebahagian pendapatan kita laburkan. Jadikan sebagai tabiat sebab simpanan tidak akan jadikan kita kaya raya tapi pelaburan menambah wang kita,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua, Unit Holders Communication and Financial Education ASNB,  Siti Norilah Shamsul Bahri berkata, walaupun bergaji kecil, setiap individu perlu belajar menyimpan dan melabur berbanding bergaji besar tetapi tidak mempunyai perancangan kewangan.

“Kita selalu ingat melabur perlu banyak duit tapi sebenarnya untuk melabur ASB semua hanya memerlukan RM10 sahaja, nak tambah RM1 pun boleh daripada tidak ada langsung. Tidak kira gaji banyak atau sikit.

”Kalau gaji banyak tidak simpan, tidak guna biar gaji sikit tapi elabur, ini bagus. Paling penting ada perancangan kewangan,” katanya yang yang hadir sebagai panel kedua segmen Borak-Borak Je di Fiesta Labur PNB @Home.

Jelasnya, kelebihan ASB kerana nilai unit yang dilaburkan sentiasa berkembang, sekali gus pelabur meningkatkan simpanan menerusi dividen setiap tahun.

“Sangat berbaloi sebab ASB harga tetap pelaburan jangka masa panjang,” ujarnya.

Bermula hari ini sehingga 31 Oktober, ASNB menganjurkan program Fiesta Labur PNB @Home secara langsung menerusi platform Facebook Amanah Saham Nasional Berhad hingga 31 Oktober ini.

Ia merupakan acara tahunan anjuran ASNB ini bakal bersiaran di platform digital untuk terus menyediakan pelbagai aktiviti dan hiburan bagi seisi keluarga, sambil mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan dalam kehidupan seharian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast