AYER KEROH – Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponennya selewat-lewatnya sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 8 November ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan pembahagian kerusi itu akan memberi peluang kepada semua parti komponen untuk bertanding pada 20 November ini.
“Kita sudah bincang pada prinsipnya tapi belum lagi selesai dan saya kira jangkakan dalam tempoh beberapa hari ke hadapan, perkara ini akan dimuktamadkan sebelum kita menghadapi hari penamaan calon.
“Sebelum itu kita sudah sepakat, kita akan umum dan perkenalkan calon-calon kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Golongan Profesional di Hotel Mudzaffar, petang tadi.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga memberi jaminan calon-calon yang akan diketengahkan PN dalam kalangan golongan muda daripada pelbagai kaum.
“Kita akan ketengahkan calon yang berkelayakan, sebahagian besarnya terdiri daripada orang-orang muda, lelaki dan wanita daripada semua kaum.
“Saya jangka ia akan dapat sokongan daripada pengundi-pengundi Melaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette