KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Penyelidikan), Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa esok sehingga 30 Oktober 2023.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, Nasir menggantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang kontraknya telah berakhir pada 15 Oktober lepas.
“KKM yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang industri kreatif, khususnya seni budaya mampu memacu FINAS sebagai badan peneraju untuk menggalak, memelihara dan menyumbang kepada kemajuan industri perfileman negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Md Nasir berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta pasca Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.
Beliau juga memiliki pengalaman luas dan ketokohannya dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketokohannya terbukti dengan kecemerlangan menggalas tanggungjawab termasuklah sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik di Akademi Seni dan Warisan Budaya (ASWARA) dan pensyarah di UPSI.
Sebelum ini, Dr Md Nasir dilapor mengakui terkejut dengan penularan berita mengenai pelantikannya itu.
Beliau adalah bapa kepada pelakon adik beradik, Anzalna Nasir, Afifah dan Mia.
Berita pelantikan Md Nasir sebagai CEO baharu FINAS heboh diperkatakan apabila UPSI memuat naik ucapan tahniah kepada ahli akademik itu yang dikatakan bakal menggantikan Ahmad Idham berkuatkuasa 1 November ini.
Terdahulu, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata, perbadanan itu masih dalam proses akhir dalam pelantikan CEO baharu dan keputusan masih belum muktamad lagi.
Kekosongan jawatan itu berlaku selepas Ahmad Idham yang dilantik sebagai CEO FINAS pada Mac 2019 mengundurkan diri berikutan bakal memikul tanggungjawab lebih besar untuk membawa industri kreatif ke persada antarabangsa, pertengahan bulan ini. – MalaysiaGazette