Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Biarkan rakyat membuat keputusan bagi mengadili sikap serta kenyataan pihak yang tidak mahu bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata bagi pihak PN, gabungan itu hanya menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat dan kepentingan negeri Melaka.

“Itu pilihan mereka (enggan berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Biarlah rakyat membuat penghakiman tentang sikap dan kenyataan pihak-pihak yang tidak mahu bekerjasama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Malam Mesra Deepavali 2021 Parlimen Gombak, di sini malam ini.

Mohamed Azmin berkata sedemikian berhubung beberapa bahagian UMNO di Melaka hari ini yang menolak sebarang kerjasama diadakan antara parti dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka pada 20 Nov ini.

Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi selain terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.

Selain itu, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata PN sentiasa mengambil sikap terbuka dan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan kerjasama, khususnya dengan parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Namun, seperti yang saya tegaskan juga…sebagai sebuah parti politik kita harus membuat persiapan di peringkat akar umbi khususnya pembahagian kerusi, penentuan calon dan jentera pilihan raya.

“Perkara ini perlu diperkemaskan seberapa segera yang boleh supaya jentera kita dapat bertindak dengan lebih efektif dan berkesan serta jangan sampai tindakan kita itu menyebabkan rakyat keliru tentang hala tuju, masa depan negara dan negeri,” katanya.

Beliau berkata kerjasama yang dibentuk pada tahun lepas menerusi gabungan PN telah menghasilkan banyak kejayaan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi, selain berpandangan kerjasama itu wajar dipertahankan serta diterjemah menerusi tindakan dalam PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.