Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT)

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan tindakan marshall dikatakan sengaja berdiri di hadapan kain rentang penyokong lawan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi dibuat bagi menghalang kain rentang Sabah FC daripada pandangan ramai.

“Memang benar bahawa marshall berdiri mengelilingi penyokong Sabah tetapi ianya hanya kerana ingin membentuk human barricade kerana penyokong Sabah ini tidak berada di kawasan tempat duduk khusus buat penyokong pelawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Sabah FC tidak memohon sebarang peruntukan untuk penyokong lawan sehinggakan para penyokongnya hanya boleh membeli tiket di bahagian penyokong tuan rumah dan duduk bersama-sama mereka.

“Ianya adalah satu niat yang murni buat kelab untuk membenarkan penyokong ini masuk ke stadium dan menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi untuk mereka.

“Pihak kelab juga telah memberi amaran kepada marshall kerana tidak mengambil langkah berjaga-jaga terlebih awal dan sebaliknya menonton perlawanan, tidak memerhati penyokong,” katanya kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JDT tempah slot suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya