Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pendirian Pas yang membuat ketetapan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disambut baik gabungan itu.

Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendirian parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu ternyata mencerminkan semangat muafakat dalam parti-parti dalam PN.

“PN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersetuju untuk menggunakan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Ketetapan yang ditegaskan melalui kenyataan YB Presiden Pas juga mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama. PN yakin keputusan Pas mencerminkan semangat muafakat yang utuh dalam kalangan parti-parti anggota Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas membuat ketetapan untuk menggunakan logo PN untuk PRN Melaka pada 20 November depan.

Abdul Hadi berkata, penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Selasa lalu.

Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang malam Isnin lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, gabungan baharu itu akan terus mengembeleng tenaga bagi menjamin kestabilan Kerajaan sera kesinambungan pelaksanaan dasar dan inisiatif demi kemaslahatan sosio ekonomi dan kemakmuran negara.

“PN yakin dan percaya bahawa rakyat Negeri Melaka cukup matang dan bijaksana untuk mendukung wadah Perikatan Nasional yang senantiasa menganjurkan perpaduan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Keputusan PN untuk bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ekoran pendirian UMNO – Barisan Nasional (BN) yang membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November ini.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN terbabit ialah bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN Melaka: Pas akhirnya pilih lambang Perikatan Nasional