Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) menggesa kerajaan menambah peruntukan Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia kerana RM125 juta tidak mencukupi.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abd Samad berkata, ini kerana kebanyakan pembangunan berstrata terutamanya pembangunan kos rendah menghadapi masalah untuk dibaikpulih atau ditambahbaik kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, penduduk tidak akan mampu menanggung kos yang tinggi tersebut dan bantuan daripada kerajaan amat diperlukan.

“Sebagai contoh, untuk 2017 Kerajaan Negeri Selangor di bawah program Smartlife telah membelanjakan RM29.3 juta untuk membaik pulih dan mengganti lif di 59 blok pangsapuri kos rendah melibatkan 118 buah lif.

“Kos ini hanya untuk sebahagian sahaja pembangunan di Selangor. Ia tidak melibatkan keseluruhan pembangunan di negeri ini. Kos untuk membaikpulih, modenisasi atau menggantikan lif adalah di antara RM100,000 hingga RM500,000 bagi setiap blok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, terdapat kerja-kerja lain seperti membaik pulih bumbung, mengganti tangki air atau memasang sistem pendawaian elektrik baharu melibatkan ratusan ribu ringgit bagi setiap blok pangsapuri.

“Contohnya kerja-kerja menukar bumbung termasuk kerangka boleh menelan belanja sehingga RM500,000 bagi setiap blok. Kerja-kerja seperti itu perlu disegerakan kerana ia boleh mengancam nyawa penduduk,” katanya.

Iskandar juga berkata, kerja-kerja mempertingkatkan keceriaan seperti mengecat semula juga penting untuk penduduk, di samping projek-projek meningkatkan keselamatan seperti pemasangan CCTV atau pagar.

“Penyediaan kemudahan komuniti dengan memanfaatkan ruang-ruang terbiar bagi kegunaan penduduk boleh meningkatkan kualiti hidup penduduk,” ujarnya.

Katanya lagi, di Selangor sahaja terdapat lebih 700 skim pembangunan berstrata lebih dari lima tingkat dan lebih 1,000 skim pembangunan berstrata lima tingkat.

“Sekiranya 10 peratus darinya memerlukan bantuan kerajaan, maka peruntukan RM125 juta ini tidak akan mencukupi. Justeru itu sudah tentu peruntukan ini tidak dapat menampung keperluan pembangunan berstrata di seluruh negara.

“Kami berpandangan program membaikpulih dan penyelenggaraan ini perlu menyeluruh. Adalah tidak adil jika terdapat pembangunan yang diberi perhatian tetapi terdapat pula yang ketinggalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast