Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua dari kiri) hadir memberi sokongan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) yang hadir bagi temu duga berikutan lebih 600 peluang pekerjaan ditawarkan di Mini Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia untuk OKU di Dewan Kenangan, Wisma Perkeso, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 MAC 2021.

DENYUT nadi kehidupan manusia banyak berkisar dengan kerjaya yang diceburi. Pekerjaan yang selari dengan personaliti, pulangan yang besar dan dipandang mulia merupakan impian setiap manusia. Malah ada yang merumuskan usaha individu yang tidak mempunyai kerjaya yang dipandang tinggi dalam komuniti sebagai satu kegagalan.

Kebanyakan teori kerjaya juga merumuskan seseorang dikatakan berjaya apabila kerjaya dibina memenuhi keperluan keperibadian dan minatnya. Tetapi realitinya, impian kerjaya sebegini boleh menjadi mimpi ngeri terutama di zaman pasca Covid 19 ini. Lebih malang lagi yang dah ada kerja pun kehilangan pekerjaan dan terpaksa mencari kerja serta bersaing dengan graduan yang baru menamatkan pengajian.

Satu bentuk penyesuaian dalam perancangan kerjaya perlu dicari bagi mencari solusi dalam perancangan kerjaya di era yang sungguh mencabar ini. Merka perlu berkompromi dalam mencari pekerjaan yang boleh mengubah hidup mereka dan bertahan dalam keadaan endemik ini. Kompromi adalah proses di mana seseorang individu mula melepaskan pilihan kerjaya mereka yang paling disukai untuk yang kurang serasi tetapi lebih mudah diakses.

Mereka akan memikirkan merit relatif alternatif yang lebih menarik dalam ruang sosial seseorang supaya perkembangan kerjaya mereka tidak tersekat atau terhalang. Proses ini dipanggil kompromi dalam kerjaya di mana mereka terpaksa memilih di antara pilihan yang minat dan pilihan alternatif yang menjadi kompromi. Apabila dipaksa untuk mempertimbangkan alternatif yang tidak boleh diterima, kompromi adalah menyakitkan dan tidak lagi menjadi pilihan, tetapi keperluan kepada pilihan kerjaya. Apabila mempertimbangkan pilihan pekerjaan pilihan, individu mungkin menghadapi halangan yang akan menghalang mereka daripada mencapai matlamat tersebut dengan jayanya. Apabila individu meninggalkan keutamaan awal mereka untuk alternatif yang tidak dapat dielakkan lagi, ini adalah kompromi.

Teori kerjaya utama yang yang boleh dirujuk tentang proses kompromi kerjaya adalah teori Gottfredson yang membicarakan tentang batasan kerjaya dan proses berkompromi. Walaupun banyak juga teori kerjaya yang merujuk kepada kompromi tetapi teori kompromi Gottfredson memberi penekanan yang sangat kuat tentang proses membuat keputusan kerjaya kognitif dalam konteks pembangunan diri. Teori ini mencadangkan bahawa pilihan kerjaya merupakan ungkapan diri sosial dan psikologi, dan individu menggunakan kriteria sosial seperti stereotaip gender dan status sosial pekerjaan lebih daripada ciri-ciri personel seperti minat dan personaliti ketika memilih jalan kerjaya.

Konsep kompromi mencadangkan pentingnya proses pemilihan kerjaya yang sepadan. Mereka perlu berkorban dan mengambil risiko membuang pilihan kerjaya yang diidamkan sekiranya wujud halangan yang dianggap oleh individu tersebut sebagai tidak dapat diatasi. Halangan-halangan ini boleh dikategorikan sebagai masalah keserasian atau masalah kebolehaksesan. Pertimbangan mesti diberikan kepada tanggungjawab keluarga, pasaran kerja, diskriminasi kaum dan seksual, dan akses kepada latihan prasyarat. Pembolehubah ini memaksa orang untuk berkompromi pekerjaan ideal mereka untuk mereka melepasi halangan yang mendatang. Dalam proses ini kebanyakan individu akan “berkompromi” untuk mendapatkan peluang kerjaya yang dianggap “baik” walaupun bukan yang “terbaik”.

Jelas sekali proses kompromi adalah sangat penting sebagai satu cara untuk individu yang berada dalam proses pencaria pekerjaan samada sebagai graduan baru atau mereka yang hilang pekerjaan untuk menyara hidup mereka. Namun begitu ia bukanlah satu proses yang mudah untuk dilakukan dan ia memerlukan tekad dan azam yang tinggi untuk meneruskannya sehingga berjaya.

Dr. Ahmad Rosli bin Mohd Nor
Pensyarah Kanan
UiTM Cawangan Melaka
Kampus Bandaraya Melaka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast