Gelagat kanak-kanak kegirangan bermain di tepi pantai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di Pantai Puteri, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 OKTOBER 2021.

BERAKHIRNYA bulan kaunseling yang disambut pada Oktober 2021 bukanlah bermakna titik penamat bagi rakyat Malaysia tentang kesedaran berkaitan kepentingan kesihatan mental. Bulan kaunseling ini telah dimeriahkan dengan tema “emosi sejahtera keluarga Malaysia bahagia”. Pandemik COVID-19 yang melanda merupakan punca utama manusia gagal untuk mengawal diri dalam berhadapan dengan masalah. Cabaran dan kekangan yang melanda akibat COVID-19 memberi tekanan kepada manusia untuk beradaptasi secara pantas. Jika dilihat situasi kini, isu kesihatan mental menjadi tajuk perbualan utama yang hangat diperkatakan sama ada menerusi platform bicara ilmu seperti forum, ceramah, dan berita di media massa.

Kebanyakannya berkisar masalah kesihatan mental seperti menghadapi tekanan yang membawa kepada kemurungan, cetusan idea untuk bunuh diri, putus asa dan hilang harapan untuk hidup. Justeru, bertepatan dengan tema bulan kaunseling pada kali ini “emosi sejahtera keluarga Malaysia bahagia” mewujudkan objektif dalam menyelesaikan isu kesihatan mental yang semakin meruncing. Hal ini perlu disambut baik oleh masyarakat umum dan sekaligus menganjurkan semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu memastikan masalah kesihatan mental dapat ditangani dengan baik. Penekanan tentang penjagaan emosi yang stabil dan konsisten dapat membantu individu dari mengalami masalah kesihatan mental yang teruk. Hal ini dapat dipraktikkan dengan mengamalkan strategi pengurusan emosi intrapersonal antaranya dengan aktiviti penilaian semula kognitif (cognitive reappraisal), belas kasihan kepada diri sendiri (self-compassion), berfikiran positif, meningkatkan kesedaran (mindfulness), dan komunikasi berkesan.

Penilaian semula kognitif adalah strategi yang berlaku sebelum tindak balas emosi dihasilkan sepenuhnya. Individu boleh melakukannya melalui cara mengeluarkan emosi secara berbeza dan melakukan penilaian semula untuk mengubah kesan emosi. Misalnya, individu yang berasa kecewa dan hampa dengan masalah yang melanda dirinya perlu menukar emosinya dengan kaedah menilai sesuatu perkara yang berlaku itu tentunya ada
hikmah. Hasil dari penilaian tersebut individu akan lebih berasa tenang, berfikiran positif dan dapat mengawal emosi dari terus menerus membawa kepada stres. Selain itu, penjagaan emosi yang sejahtera dapat dilakukan dengan mewujudkan elemen
belas kasihan kepada diri sendiri (self-compasion). Amalan ini perlu diamalkan dengan menerima kenyataan bahawa setiap individu itu tidak sempurna. Hal ini dapat dikaitkan apabila berlaku pandemik COVID-19 pelbagai isu yang timbul dan menyebabkan ramai gagal untuk menyelesaikannya.

Oleh itu, pentingnya ada penerapan belas kasihan dalam diri untuk menerima kelemahan diri seadanya dan memperbanyakkan aktiviti beribadah dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Pergantungan diri dengan Allah SWT dengan erat dapat menimbulkan ketenangan dalam jiwa sekaligus mendidik diri untuk tidak mudah menyalahkan diri sendiri di atas apa yang terjadi. Emosi sejahtera dapat dipupuk dengan memperbanyakkan berfikiran positif. Berfikiran positif adalah menerapkan cara untuk mengubah pemikiran negatif dari melingkari diri. Perbanyakkan melazimi pemikiran dengan melihat keindahan disebalik musibah yang menimpa diri. Oleh itu, dalam institusi keluarga itu sendiri perlu disalurkan ‘vibe’ yang positif sesama ahli keluarga.

Sekiranya terdapat individu yang mengalami kemurungan, ahli keluarga perlu memainkan peranan dengan memberikan kata-kata positif dan semangat untuk meneruskan kehidupan. Malah, khidmat kaunseling juga amat sinonim untuk dirujuk bagi membantu menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi. Hal ini kerana, kaunseling memberi bantuan celik akal kepada individu untuk keluar dari permasalahan yang dihadapi dengan bantuan kaunselor yang bertauliah. Ia turut menjadi antara platform terpenting dalam membanteras isu kesihatan mental dari berlanjutan. Penerapan aktiviti mindfulness dalam mengatasi krisis dapat mempertingkatkan diri untuk mencapai emosi sejahtera. Pelbagai bentuk teknik dapat dilakukan seperti teknik relaksasi, teknik tenangkan diri, berhenti sejenak dan fokus kepada ‘here and now’.

Teknik relaksasi dapat diimplementasikan dengan melakukan teknik deep breathing, progressive muscle relaxation, meditasi, yoga dan senaman. Menerusi aktviti ini, individu akan lebih berasa tenang dan sihat. Manakala, aktiviti tenangkan diri memerlukan individu untuk menzahirkan emosi dengan cara yang sihat. Misalnya, meminta maaf dan memaafkan orang lain, berdoa, bertafakur, bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan dan menulis jurnal peribadi. Selain itu, penjagaan diri sendiri dapat menenangkan diri melalui kaedah urutan badan dan rawatan penjagaan muka. Aktiviti berhenti sejenak pula menganjurkan untuk memberi ruang menikmati keseronokan dalam berfikir, mencari jalan penyelesaian, memahami dan merawat diri untuk lebih kuat dan berdaya tahan dalam menghadapi apa jua masalah.

Akhir sekali, here and now membawa individu untuk menjejak kaki di alam realiti tanpa terganggu dengan peristiwa lepas atau peristiwa akan datang. Oleh itu, individu bebas untuk menikmati kehidupannya kini. Sementara itu, di peringkat interpersonal sokongan padu perlu dititikberatkan bagi meringankan beban bagi mereka yang terjejas. Sokongan menerusi komunikasi berkesan yang diberikan dapat menghadirkan sinar kepada mereka yang memerlukan. Sokongan perhatian dengan cara mendengar luahan juga dapat membantu individu berasa dihargai, didengari dan tidak keseorangan. Hal ini penting untuk mengurangkan tekanan dan tidak membiarkan individu tersebut keseorangan dalam menghadapi masalah yang membelenggu dirinya.

Oleh itu, pentingnya perhatian yang dihulurkan oleh ahli keluarga dalam memastikan tiada individu yang terbeban dengan masalah secara bersendirian sebaliknya masih ada tali untuk berpaut meminta pertolongan. Berdasarkan tema “emosi sejahtera keluarga Malaysia bahagia” jelas memperlihatkan emosi yang sejahtera dapat melahirkan keluarga yang bahagia dan sentosa. Hal ini kerana, institusi keluarga menjadi medium utama untuk selesaikan masalah yang dihadapi individu dalam sesebuah keluarga. Bermula dari institusi keluarga segala masalah dapat dikenal pasti dan dirawat sebelum sampai ke peringkat luar. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab masing-masing untuk sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap masalah yang dikemukakan oleh ahli keluarga mahupun secara langsung atau tidak langsung.

Kesimpulannya, pentingnya penjagaan emosi dalam memacu kesejahteraan keluarga sekaligus membawa kepada keharmonian negara. Emosi sejahtera melambangkan individu yang sihat, berdaya tahan, bersaing secara sihat, kompeten dan berdaya maju. Hal ini dapat membanteras isu kesihatan mental menjadi lebih buruk sekaligus membantu setiap individu bijak menguruskan setiap permasalahan dan tidak mudah berputus asa. Bak kata pepatah melayu, “cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga” menjadi perumpamaan sangat mendalam untuk setiap individu mengambil berat terhadap individu terdekat yang mempunyai masalah dan meletakkan simpati dan empati pada setiap isu yang dihadapi dan turut bertanggungjawab membantu menyelesaikannya.

Penulis: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti
Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast