Kit Ujian Kendiri Covid-19. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kit ujian kendiri COVID-19 cetak rompak dan palsu yang ada di pasaran amat sukar untuk dibezakan dengan yang tulen.Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia, Lovy Beh berkata, hampir semua elemen pada bungkusan kit ujian palsu yang dirampas pihak berkuasa adalah sama dengan yang tulen sehingga pengguna amat sukar untuk membezakan mereka.

“Dalam mesyuarat yang diadakan dengan pembekal, kami diberitahu bahawa ada peniaga yang tidak bertanggungjawab telah menjual produk palsu.

“Sesetengah peniaga yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan juga tersalah mengambil stok yang palsu tanpa menyedarinya,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, penipu biasanya akan menjual kit dengan harga lebih rendah sedikit, tetapi bukan terlebih murah, untuk mengelakkan rasa curiga pembeli.

Katanya, orang ramai perlu mengelak kit ujian yang tidak mempunyai pengesahan daripada Pihak Berkuasa Perenti Perubatan kerana hasil ujian kit itu mungkin tidak tepat.

Menurutnya, pembelian daripada klinik dan farmasi adalah lebih selamat kerana mereka mengambil stok daripada pembekal yang boleh dipercayai.

“Kami juga melakukan kawalan yang ketat kerana pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan secara tetap,” katanya. – MalaysiaGazette