Dr. Amir Hamzah Abdul Rajak.

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) mengesahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini.

Setiausaha Agung Iman, Dr. Amir Hamzah Abdul Rajak berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat pada 30 Oktober lalu.

Jelas beliau, Iman telah mengenal pasti beberapa DUN untuk ditandingi di PRN Melaka.

“Pucuk pimpinan Iman telah menerima enam nama dari kepimpinan IMAN Melaka untuk dicalonkan dan kesemua nama tersebut merupakan anak tempatan Melaka.

“Majlis tertinggi juga sebulat suara bersetuju menyerahkan pemilihan calon untuk bertanding kepada budi bicara Datuk Presiden dan pucuk pimpinan tertinggi IMAN.

“Pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat oleh Presiden Iman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iman sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat itu bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka.

Namun pada September tahun lalu, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau Iman.

Parti pimpinan Presiden, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak itu kini memiliki lebih 13,000 ahli di seluruh negara kecuali Sarawak. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast