Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Persiapan menghadapi bencana banjir berikutan jangkaan Monsun Timur Laut (MTL) pada bulan November di negeri ini diperkemas dengan pemuafakatan antara pemimpin setempat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, peranan ketua kampung amat signifikan dalam membantu pihak polis ketika memberi bantuan banjir kepada masyarakat selain mengekang kejadian jenayah.

Tambahnya, selain daripada persiapan teknikal dan aset PDRM dalam memberi bantuan penyelamat kepada mangsa banjir, makluman awal dan perkembangan semasa melalui pempimpin setempat ketika mengurus bencana sangat membantu.

Program Perjumpaan Santai bersama Ketua Polis Daerah Kuantan dan Ahli Jawatankuasa Ketua Kampung Mukim Daerah Kuantan

“Inisiatif awal bagi persiapan menghadapi bencana adalah mengadakan perjumpaan dan sesi temu ramah bersama ketua kampung agar dapat berkongsi pendapat dan nasihat persediaan menghadapi bencana banjir

“Perbincangan dan pemuafakat bersama tok empat ini memastikan pelarasan gerak kerja apabila bencana banjir tiba dapat dibuat.

“Penyalurkan maklumat bencana di kawasan mereka adalah penting supaya tindakan proaktif PDRM sebagai agensi utama dapat diselaraskan dengan baik dengan pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata demikian sejurus perasmian program perjumpaan santai bersama Ketua Polis Daerah Kuantan dan Ahli Jawatankuasa Ketua Kampung Mukim Daerah Kuantan di Annexxe Resthouse, Kuantan.

Jelasnya, pihak polis sentiasa mengutamakan hal keselamatan penduduk dan kebarangkalian kejadian jenayah berlaku menghadapi musim banjir. – MalaysiaGazette