Shahril Sufian
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Keberanian kepimpinan parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) untuk membariskan beberapa wakil generasi muda merupakan petanda baik.

Ini menunjukkan pembaharuan politik berlaku dalam parti-parti BN, kata Ketua Penerangan UMNO, kata Shahril Sufian Hamdan.

Mereka yang dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah dalam kalangan calon-calon muda yang berkaliber dan bertenaga untuk menawarkan imej segar dan ikrar khidmat bakti kepada rakyat.

”Semua calon terutamanya rakan-rakan kami yang muda memerlukan kerjasama, bantuan dan dukungan seluruh jentera parti dan saya yakin setiap daripada mereka sedia dan rendah diri memohon kerjasama tersebut bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk menjamin kejayaan parti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shahril berkata, bersama calon-calon yang lebih berpengalaman, calon-calon muda ini bakal mewujudkan suatu barisan yang mengisi pelbagai julat umur, mewakili perspektif generasi masing-masing.

Inilah keunikan tawaran BN kali ini, disamping selaras dengan konsep setiakawan dalam BN dan semangat #KeluargaMalaysia apabila lapan kerusi juga dikongsi bersama parti-parti komponen.

Menurutnya, Pemuda UMNO akan mempromosi calon-calon BN dan memperhebat gerak kerja terutamanya dengan normal baharu.

Tambah beliau, melangkaui isu calon, dua perkara utama telah diperjelas sekali lagi hari ini ialah calon Ketua Menteri dari BN ialah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

”Kedua, semua calon menandatangani akuan bersumpah untuk tidak lompat parti dan menerima tindakan undang-undang diambil jika ingkar,”

”Kedua-dua ini menjanjikan kestabilan sebagai satu tema utama dalam kempen BN untuk PRN Melaka,” ujarnya. – MalaysiaGazette