Azli Yusof

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Shah Alam mengucapkan syabas kepada Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan ramai calon muda bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Amanah Kawasan itu, Azli Yusof, berkata, sebanyak 64 peratus calon yang dikemukakan parti berumur 50 tahun ke bawah.

“Saya bangga kerana lima dari 28 calon bertanding nanti dalam kalangan anak muda berumur 21 hingga 30 tahun manakala calon termuda seorang pemudi berumur 21 tahun.

“Selain itu, keputusan menurunkan hampir 40 peratus calon berumur 40 tahun ke bawah menggambarkan kesungguhan PH mengemukakan perwakilan yang berkadar dengan bilangan pengundi yang akan keluar menentukan masa depan kerajaan Melaka nanti,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, semua parti selesai mengumunkan calon yang akan bertanding dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mencapai kata sepakat memilih penggunaan logo (PH).

Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukan, PKR bertanding 11 kerusi diikuti Amanah (sembilan) dan DAP (lapan).

Dalam pada itu, Azli beranggapan keputusan PH menurunkan Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan masing-masing bertanding atas tiket PKR dan Amanah ada kewajarannya.

“Tambahan pula kedua-dua bekas ADUN UMNO itu bukan melompat parti bahkan mereka telah dipecat dari parti yang dianggotainya.

“Ini berbeza dengan tindakan khianat dan paling tadah ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN terbabit sehingga jatuhnya kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri PH sebelum ini,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah parti yang membawa pendekatan “khemah besar”, beliau yakin PH terbuka menerima parti dan individu yang hendak bersama menolak kleptokrasi, melakukan reformasi, memulihkan tadbir urus dan tata kelola negara serta kerajaan negeri.

“Pada saya, PH menghormati sikap dan pendirian mereka menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka yang telah rosak, menyimpang dari urus tadbir yang baik.

“Sebagai sebuah ‘khemah besar’, PH tentu boleh mempertimbang dan menerima mana-mana parti dan individu yang berhasrat untuk bersama merealisasikan aspirasi PH.

“Saya yakin pengundi dan rakyat Melaka boleh menilai kebolehan, keupayaan, ketelusan, keadilan dan keberkesanan pentadbiran di bawah kepimpinan mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari walaupun PH hanya mentadbir negeri selama 22 bulan,” ujar beliau.

Oleh itu, katanya, amat wajar mandat diberikan rakyat Melaka pada PRU14 yang lalu dikembalikan semula kepada PH melalui peti undi ketika PRN Melaka 20 November ini. – MalaysiaGazette