Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap kepada media selepas sidang media mengenai pengumuman calon Parti GERAKAN sempena PRN Melaka Ibu Pejabat Parti Gerakan Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 7 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan terpaksa menangguhkan persidangan perwakilan nasional parti itu yang dijadualkan 13 November ini berikutan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Melaka.

Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, parti itu sebelum ini merancang untuk mengadakan persidangan berkenaan di Melaka.

Bagaimanapun, katanya, berikutan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan SOP ketat, maka persidangan itu terpaksa ditangguhkan.

“Kita dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa parti Gerakan tidak boleh mengadakan persidangan di Melaka kerana akan diadakan pilihan raya dan SOPnya diperketatkan.

“Justeru, kerana masih ada masa, kita tangguhkan persidangan pada satu tarikh yang belum ditetapkan dan akan dimaklumkan kepada media,” katanya pada sidang media lima calon Gerakan menandatangani Akuan Berkanun (SD) di sini hari ini. – MalaysiaGazette