1MDB forfeiture suit The High Court dismissed the application of the government to forfeit RM115 million seized by the police in 2018 from Pavilion Residences. FILE PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak barangan mewah milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa berkaitan skandal penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Selain Najib dan Rosmah, beberapa individu lain termasuk anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz; anak Najib, Nor Ashman Razak dan Nooryana Najwa selain individu serta entiti lain.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pemohon (kerajaan) gagal membuktikan sebarang kaitan dakwaan barangan mewah yang telah disita dan dirampas itu dengan penyewelengan dana 1MDB.

“Saman lucut hak ini memerlukan lebih banyak dokumen dan bahan bukti bagi kukuhkan kes dan dakwaan tersebut.

“Pemohon telah beberapa kali kali gagal kenal pasti sumber maklumat mereka sebaliknya membuat kesimpulan yang pada saya tidak cukup bagi permohonan ini seperti penyiasat tunjuk aliran wang keluar masuk dari akaun responden tidak memandai.

“Walaupun ada wang besar dalam akaun responden pertama tetapi ianya berdasarkan syak sahaja tanpa bukti memadai, sama ada responden lakukan kesalahan ini atau sebaliknya masih lagi dalam perbicaraan yang masih lagi sedang berlangsung, saya tolak permohonan lucut hak ini,” katanya hari ini.

Pada 8 Mei 2019, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan, termasuk beg tangan pelbagai jenama dan 27 buah kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka, serta 13 individu dan syarikat yang dikatakan mmepunyai kaitan dengan kes 1MDB.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank di Bank Islam Malaysia Bhd, Al-Rajhi Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Public Bank Bhd, AmBank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd, dibeku antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Dalam notis usul lucut hak itu, pendakwaan menamakan Najib, Rosmah, Nor Ashman, Riza Aziz, Nooryana, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe, Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs).

Juga isteri Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, AS$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, S$40, Riyal 531, Peso Filipina 740 dan RM21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah Pulau Pinang. -MalaysiaGazette