Datuk Seri Mohamad Hasan

MELAKA – Barisan Nasional (BN) jujur dan serius berkenaan dengan kestabilan politik di negeri Melaka, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengarah Pilihan Raya BN itu berkata, kestabilan politik di Melaka sangat penting kerana tanpanya rakyat tidak akan mengecapi kemakmuran dalam kalangan masyrakat pelbagai kaum di negara ini.

“Kerajaan mana yang boleh menumpukan kemakmuran negara dan negeri jika ia tidka stabil, setiap pagi bangun fikir dia cukup kerusi ataupun tidak.

“Setiap pagi dia akan fikir berapa ekor katak nak melompat, jika kita menubuhkan kerajaan dengan jumlah majoriti yang baik saya yakin maka inilah bermulanya kemakmuran,” katanya dalam sesi temubual berjudul Gegau Melaka: PRN Melaka – BN Janjikan Kestabilan, Kemakmuran di Facebook malam tadi.

Mohamad berkata,  BN akan memastikan manifesto bertajuk BN janjikan kestabilan, kemakmuran yang bakal dilancarkannya pada Rabu nanti akan menjadi satu konsep yang realistik dan berpotensi untuk para pengundi Melaka.

“Kita nak tengok kawan-kawan di luar itu dia nak jadi apa? Kita janji kita akan buat. Saya akan lancarkan manifesto yang boleh berpijak di bumi yang nyata,” katanya.

Awal hari ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, BN akan mengumumkan manifesto yang meliputi cadangan terbaik untuk pembangunan dan manfaat rakyat di negeri itu.

Ditanya menngenai tindakan Pakatan Harapan (PH) yang menerima dua daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyebabkan PRN Melaka ini diadakan, Mohamad berharap pengundi boleh menilai tindakan itu yang mengheret rakyat kepada satu lagi pilihan raya.

“Saya harap pengundi pandai membuat penilaian yang wajar samada nak memilih orang yang melompat-lompat atau pun memilih wakil parti yang telah pun mempunyai asas dengan jaminan akujanji dan tidak akan ada tukar-tukar lagi.

“Saya hairan juga satu parti yang begitu beria-ia mengutuk tentang lompat-lompat parti ini, tetapi akhirnya mereka terpaksa berkompromi dengan prinsip parti dan menerima orang macam ini sampai keluar konsep ‘katak berprinsip’,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, Mohamad mencadangkan kepada para pengundi PRN Melaka agar memilih parti teras yang akan menubuhkan kerajaan negeri.

Katanya, langkah ini bagi mengelakkan isu peralihan kuasa berlaku sekali lagi kerana kekurangan sokongan.

“Rakyat mesti bagi kepercayaan kepada satu parti teras yang boleh boleh menubuhkan kerajaan yang mana kerajaan ini tidak sentiasa diugut bahawa kalau ada yang tarik diri boleh mengakibatkan kerajaan negeri jatuh.

“Jadi buat pilihan bagi kepercayaan kepada BN lebih 15 kerusi jadi apa pun jadi kita boleh buka pintu kepada rakan-rakan lain.

“Selepas PRN nanti, boleh jadi Pas menang satu dua kerusi kita jemput dia sertai kerajaan negeri itu pun kalau dia nak datang,” jelas ADUN Rantau itu. – MalaysiaGazette